MASALAH ketidaksuburan bukanlah masalah biasa
lagi bagi setiap populasi negara menghadapinya.
Setiap 10 pasangan yang sudah berkahwin, satu pasangan pasti mengalami masalah ketidaksuburan.
Dalam lima pasangan yang mempunyai masalah ketidaksuburan, dua daripadanya berpunca daripada perempuan, dua daripada lelaki manakala satu lagi merupakan gabungan lelaki dan wanita.
Pakar Runding dan Bedah Urologi Pusat Perubatan
Tropicana, Dr. Muhilan Parameswaran berkata, masalah ketidaksuburan lelaki
lebih sukar dirawat berbanding dengan wanita.
Masalah ketidaksuburan lelaki boleh
dibahagi kepada tiga punca utama iaitu hormon, sperma dan penis.
Tidak ada cara untuk seseorang mengetahui sendiri dirinya
mempunyai masalah ketidaksuburan melainkan mengalami kecacatan pada penis sejak
lahir.
Pasangan yang tidak mempunyai anak setelah
setahun berkahwin ataupun enam bulan bagi yang berusia 35 tahun ke atas perlu
merujuk pada doktor.
Pakar sakit puan akan memeriksa wanita dan lelaki pula
akan dihantar kepada pakar urologi.
Ada masalah ketidaksuburan yang boleh dirawat tetapi semakin
sukar jika lambat diambil tindakan kerana faktor usia wanita," ujarnya.
Terang Dr. Muhilan, kira-kira 40 peratus sahaja
masalah kesuburan lelaki yang boleh dirawat.
Namun, ia bukan masalah untuk mempunyai anak kerana
ada cara lain boleh dilakukan seperti rawatan permanian beradas (intrauterine
insemination) atau persenyawaan in-vitro (In-vitro fertilization, IVF).
Hormon
Wanita sering dikatakan mempunyai masalah tidak
subur berpunca daripada gangguan hormon, begitu juga dengan lelaki.
Jika hormon pembebasan Gonadotropin (GnRH) yang
dibebaskan daripada kelenjar pitutuari yang berada di bahagian kepala tidak
mencukupi, ia tidak dapat merangsang testis menghasilkan sperma dan matang.
Ujar Dr. Muhilan, gangguan pada hormon sering
berlaku bagi mereka yang mengambil steroid dalam jangka masa panjang.
Penggunaan steroid berpanjangan akan menyebabkan
testosteron tidak dapat dihasilkan lalu membuatkan testis mengecut.
Jika rawatan radiasi dan kimoterapi pernah
dilakukan pada bahagian otak, ia turut mengganggu hormon lelaki.
Selain itu, ada yang mengalami masalah hormon
sejak lahir lagi.
Sperma
Ada pesakit yang tidak mempunyai masalah hormon
apabila ia dapat merangsang testis menghasilkan sperma, tetapi sperma yang
dihasilkan tidak cukup, tidak berkualiti atau ada yang cacat.
Terang Dr. Muhilan, bilangan sperma yang normal
adalah 60 juta setiap sentimeter padu dan mereka yang mengeluarkan kurang
daripada 20 juta sperma disahkan mempunyai masalah kesuburan.
Kekurangan jumlah sperma itu akan mengurangkan
peluang persenyawaan dan kehamilan.
Sperma yang terlalu sedikit dihasilkan dinamakan
oligospermia manakala masalah ketiadaan sperma pula digelar azoospermia.
Penyakit seperti perkembangan beguk selepas akil
baligh boleh merosakkan sel-sel yang menghasilkan sperma begitu juga penyakit
lain seperti demam yang terlalu panas dan jangkitan pada testis.
Selain masalah genetik seperti kecacatan genetik
sejak lahir iaitu mempunyai satu testis sahaja, faktor luar juga mempengaruhi jumlah
dan kualiti sperma.
Antaranya memakai pakaian terutamanya seluar
dalam yang ketat kerana jumlah sperma akan jatuh jika testis berada dalam
keadaan panas.
Ramai yang tidak tahu dengan selalu meletakkan komputer
riba di riba turut mengurangkan sperma kerana haba yang dihasilkan.
Pengambilan dadah seperti kokain turut mengurangkan
produksi sperma.
Selain itu, ada ubat-ubatan yang mengganggu pengeluaran
sperma seperti ubat darah tinggi iaitu calcium channel blocker dan ubat
kulat," ujarnya.
Bagi kes sperma cacat, walaupun persenyawaan
berlaku, badan wanita akan secara semulajadi menggugurkannya.
Penis
Jika bukan hormon atau sperma yang menjadi punca
ketidaksuburan, masalah lain mungkin berpunca daripada penis yang bermasalah.
Sperma yang terhasil tidak dapat keluar melalui
penis akibat beberapa kerosakan atau kecacatan.
Ada kes, vas deferens iaitu laluan keluar sperma tidak
wujud membuatkan sperma tidak dapat keluar.
Vas deferens yang tersumbat juga mungkin berpunca
daripada penyakit kelamin atau tibi," ujarnya.
Selain itu, jika buah zakar bayi lelaki tidak
berpindah ke tempat sepatutnya yang digelar cryptochildism akan mempengaruhi
kesuburan lelaki pada masa depan.
Masalah lain seperti kanser testis, pembedahan
atau kecederaan pada penis yang menyebabkan saluran darah ke penis pecah boleh
menyebabkan kemandulan.
Rawatan
Setiap pasangan yang sudah setahun berkahwin
atau enam bulan bagi mereka berusia 35 tahun ke atas yang masih belum mendapat
zuriat dinasihatkan berjumpa dengan pakar.
Pakar ginekologi akan memeriksa sistem
reproduktif wanita dan lelaki pula akan dirujuk dengan pakar urologi.
Terang Dr. Muhilan, hormon, sperma dan penis
pesakit akan diperiksa melalui beberapa ujian.
Kira-kira 30 hingga 40 peratus sahaja masalah
ketidaksuburan lelaki boleh dirawat kerana seperti masalah genetik, ia tidak
dapat dirawat.
Doktor selalunya menasihati pesakit terus menjalani
rawatan kesuburan seperti IVF dan IUI dengan mengambil sedikit sperma untuk
dilakukan persenyawaan.
Ini kerana faktor masa. Proses rawatan kesuburan
mengambil masa sehingga tiga bulan iaitu tempoh matang sperma bagi mengetahui
masalahnya.
Wanita pula semakin berusia semakin berkurangan telur
dihasilkan, mengurangkan peluang untuk hamil dan risiko anak sindrom Down,"
terangnya.
Bagi rawatan hormon, doktor akan memberi
suntikan hormon bagi meningkatkan tahap kesuburan dan isteri akan mencapai
kehamilan.
Sama seperti masalah sperma, doktor akan
memberikan ubat-ubatan bagi membantu penghasilan sperma.
Jika vas deferens tersumbat, doktor akan
melakukan pembedahan dan membaiki saluran tersebut.
Bagi masalah ketiadaan vas deferens pula, doktor
akan melakukan pembedahan mengeluarkan sperma lalu melakukan proses
persenyawaan seperti IUI atau IVF.
Sumber diambil daripada Utusan Melayu [M] Bhd.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan